Pada sesi-sesi lepas, pelajar tahun 5 diberikan hak menduduki KTDI secara automatik tanpa mengambilkira jumlah merit mereka. Namun pada tahun ini, pihak JAKSA KTDI 2009/2010 bercadang untuk meletakkan kuota sama rata terhadap semua pelajar perubatan tahun 3-5. Contohnya sekiranya jumlah tempat yang ada ialah sebanyak 600 unit, maka setiap batch hanya ada 200 orang sahaja yang akan dapat menduduki KTDI. Selebihnya akan tinggal di Laman Midah atau Bandar Tasik Permaisuri. Ini bermakna setiap pelajar perlu mengumpul merit dan bersaing sesama kawan batch untuk melayakkan diri tinggal di KTDI. Sistem ini hanya digunapakai terhadap pelajar tahun 3 dan 4 sahaja pada sesi-sesi yang lepas.
Faktor
1. Pada sesi 2009/2010 ini, jumlah kemasukan pelajar ke KTDI melebihi tempat yang sedia ada. Pelajar tahun 5 adalah seramai lebih kurang 230, tahun 4 lebih kurang 240 dan tahun 3 lebih kurang 280. Pada sesi 2010/2011 pula, jumlah pelajar mungkin lebih ramai iaitu tahun 5 (240), tahun 4 (280) dan tahun 3 (270). Hal ini menyebabkan pihak KTDI terpaksa menyewa beberapa rumah di Bandar Tasik Permasuri yang mungkin akan diduduki 15-20 orang pelajar (yang mungkin akan diduduki oleh pelajar tahun 3 atas sebab mereka paling akhir mendaftar berbanding tahun 4 dan 5).
2. Pelajar tahun 4 kebanyakkan tidak aktif dalam program atas sebab mendapat kelayakan automatik menduduki KTDI pada tahun 5. Ini menyebabkan program terbeban kepada pelajar tahun 3.
Kesan sekiranya cadangan tersebut dipersetujui
1. Pelajar tahun 5 tidak lagi mendapat kelayakan automatik untuk menduduki KTDI. Mereka perlu mengumpul merit ketika mereka berada di tahun 4 bagi melayakkan mereka menduduki KTDI pada tahun 5. Namun begitu, walaupun merit mereka tinggi, jika kuota yang diperuntukkan telah penuh, maka mereka terpaksa juga tinggal di Laman Midah. Kesimpulannya, tidak semua pelajar tahun 5 akan duduk di KTDI (walaupun merit mereka tinggi atas sebab kuota yang telah diperuntukkan). Tahun 5 merupakan tahun akhir yang sibuk, mencabar dan kritikal. Tahun 4 juga merupakan tahun yang sibuk berbanding tahun 3.
2. Beberapa pelajar yang baru melangkah ke tahun 3 mungkin akan diletakkan di Bandar Tasik Permaisuri kerana mereka merupakan golongan yang paling akhir mendaftar selepas pelajar tahun 5 dan tahun 4. Hal ini agak membebankan mereka kerana mereka baru sahaja dalam proses adaptasi. Namun begitu, ada cadangan untuk memberikan pelajar yang tinggal di BTP ini berada dalam posting JKM sebagai posting pertama kerana mereka akan banyak menghabiskan masa di Tanjong Karang. Selepas 2 bulan, mereka mungkin akan ditempatkan di Laman Midah selepas pelajar diploma kejururawatan tahun akhir mendaftar keluar. Oleh sebab pihak fakulti telah tidak mengambil pelajar diploma kejururawatan pada sesi akan datang, maka pada tahun 2010/2011, mungkin tiada pelajar yang perlu menduduki rumah sewa di BTP.
3. Semua pelajar akan aktif di dalam setiap program untuk mengumpul merit. Oleh itu, program tidak lagi hanya terbeban kepada pelajar tahun 3 sahaja.
Kesan sekiranya cadangan tersebut tidak dipersetujui
1. Semua pelajar tahun 5 akan dapat menduduki KTDI secara automatik. Diingatkan bahawa semua pelajar pasti akan menjadi pelajar tahun 5 selepas selesai tahun 3 dan 4. Ini bermakna semua pelajar akan menikmati keistimewaan ini. Hanya masa yang membezakan.
2. Pelajar tahun 4 mungkin tidak akan mengaktifkan diri dalam program kerana mereka akan mendapat hak automatik menduduki KTDI ketika di tahun 5. Oleh itu, program akan terbeban kepada pelajar tahun 3.
3. Lebih banyak pelajar tahun 3 dan 4 akan tinggal di Laman Midah kerana semua pelajar tahun 5 akan menduduki KTDI secara automatik walaupun tidak aktif.
Cadangan alternatif
Hanya batch tahun 3 dan 4 sahaja yang mengikut kuota. Manakala pelajar tahun 5 diberi kelayakan menduduki KTDI secara automatik dengan syarat harus mengumpul nilai merit minimum yang akan ditetapkan kemudian.
Pro : Pelajar tahun 4 akan melibatkan diri dalam program untuk mengumpul merit bagi mencapai nilai minimum tersebut. Oleh itu program tidak akan terbeban kepada pelajar tahun 3 sahaja. Manakala pelajar yang sememangnya tidak aktif akan diletakkan di Laman Midah. Dan sekiranya ia dipersetujui ramai, maka setiap batch mungkin akan melalui dasar yang sama kerana mereka juga akan berada di tahun 5.
Kesimpulan
Terdapat tiga cadangan yang boleh dipertimbangkan iaitu :
A. Semua batch harus mengumpul merit dan diberi kelayakan menduduki KTDI mengikut jumlah merit dan kuota.
B. Hanya batch tahun 3 dan 4 sahaja yang mengikut kuota. Manakala pelajar tahun 5 diberi kelayakan menduduki KTDI secara automatik dengan syarat harus mengumpul nilai merit minimum yang akan ditetapkan kemudian.
C. Hanya batch tahun 3 dan 4 sahaja yang mengikut kuota. Manakala pelajar tahun 5 diberi kelayakan menduduki KTDI secara automatik tanpa mengambilkira nilai merit mereka.
So, fikir-fikirkanla..nanti lepas OSPE, akan ada briefing ngn undian k..harap maklum
-YDP PERSIAP-
No comments:
Post a Comment