Countdown Peperiksaan Ikhtisas Akhir 2012/2013

Saturday, February 6, 2010

Buletin EPIK: Muhasabah diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Lebih kurang 20 tahun kita hidup di dunia ini, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kehidupan selepas kematian? Adakah kita yakin bahawa amalan kita sudah cukup untuk menjamin syurga Allah?

Seruan Allah kepada mereka yang beriman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan"
-al-Hasyr, ayat 18-

Walaupun kita sebagai pelajar sentiasa sibuk belajar, mengulangkaji, membuat kerja mahupun menguruskan program, kita perlu sentiasa ingat bahawa kita pasti akan mati. Mungkin esok, mungkin lusa, ataupun minggu depan, hanya Allah yang mengetahui ajal maut seseorang. Sebagai hamba yang beriman, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa refleksi diri kita, kerana diakhirat kelak, tiada siapa yang dapat menolong kita melainkan amalan kita sendiri.

Sentiasa mengingati mati tidak bermaksud kita perlu bersedih selalu, menangis siang malam kerana dosa-dosa yang kita telah buat. Apa yang penting ialah kita sedar akan apa yang telah kita lakukan, istighfar (meminta keampunan Allah) sebanyak mungkin, dan memperbanyakkan lagi amalan kebaikan (solat sunat, puasa, sedekah, tolong rakan, nasihat-menasihati). Kita sebagai manusia biasa tidak boleh lari dari melakukan kesilapan.

"Dan bagi setiap umat mempunyai arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Maka, berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan, kerana dimana saja kamu berada, Allah pasti akan mengumpulkan kamu semuanya (pada hari kiamat). Sungguh, Allah Mahakuasa atas segala sesuatu."
-surah al-Baqarah, ayat 148-

Jadi marilah kita sama-sama muhasabah diri, fikirkan sejauh manakah keimanan kita, sejauh mana kita kenal Allah dan Rasulullah s.a.w., cukupkah ilmu-ilmu yang kita belajar ini untuk membawa kita lebih dekat kepada Allah. Sama-samalah kita perbaiki lagi diri kita, banyakkan lagi membuat kebaikan kepada Allah dan kepada sesama manusia. Semoga peringatan ini bermanfaat buat rakan-rakan semua. Selamat belajar. =)

"Dan sesungguhnya seseorang manusia itu hanya memperoleh (pahala) apa yang telah diusahakannya, dan sesungguhnya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna."

-surah an-Najm, ayat 39-41-

No comments:

Post a Comment

Your Download

Would like to contribute any files?Please send it via email to publisitibba0813@yahoo.com.The files will be considered to be uploaded.