Countdown Peperiksaan Ikhtisas Akhir 2012/2013
Monday, February 16, 2009
Dilema Jamuan KCKL
Jamuan medic kckl yang akan diadakan pada 6 Mac 2009 adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kita dan pelajar tahun 2 yang akan mengakhiri pengajian di kampus kl dan meneruskan perjuangan di HUKM. Jadi, organisasi jamuan ini telah cuba yang terbaik untuk menjayakan majlis makan malam ini. Penentuan tempat, tarikh, perjalanan program, adalah dibawah perbincangan ahli organisasi termasuk BBA 0813 dan juga wakil PERSIAP.
Setiap keputusan yang kami lakukan adalah hasil perbincangan bersama, seperti konsep syura dalam islam. Jadi kami tidak membuat keputusan mengikut kehendak satu-satu pihak sahaja. Cadangan yang disuarakan memang kami sendiri telah terima, cuma pelaksanaannya bergantung kepada perbincangan ahli organisasi jamuan dan wakil PERSIAP. Saya berharap tiada individu yang amik hati dan harap semua dapat berseronok pada malam jamuan tersebut.
Walaupun makan itu belum tentu puas kerana kita mengambil konsep hidang, tapi kita bersyukurlah, kerana ramai lagi saudara-saudara kita diluar sana yang menderita, yang ingin mencari rezeki pun amatlah susah. Kita bersederhana dalam menjalankan aktiviti, walaupun bayarannya agak mahal, tapi kami cuba yang terbaik untuk kebaikan bersama. Program ini pun diadakan setahun sekali, jadi kita ikhlaskanlah diri untuk pergi, meraikan pelajar medic tahun 2. Insya-Allah pada tahun hadapan, pelajar tahun 1 0914 akan meraikan kita pula. Jadi kita berharap agar ianya akan berterusan, bukan atas dasar paksaan kepada junior, tapi atas jalinan persaudaraan yang kita inginkan. Kita sama-sama muhasabah diri, dan fikirkanlah untuk kebaikan bersama. Sekian terima kasih.
-Ketua BBA-
Tuesday, February 3, 2009
Ucapan Ketua BBA
Segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, dapat kita bernyawa dan meneruskan perjuangan sebagai khalifah di muka bumi ini. Ucapan terima kasih juga saya sampaikan kepada Ahli BBA terutama kepada editor blog yang sanggup meluangkan masa bagi menyiapkan blog ini.
Idea bagi menghasilkan blog ini disuarakan dalam mesyuarat Badan Bertindak Akademik pada 21 Januari 2009 dan mendapat persetujuan daripada semua ahli. Idea ini timbul setelah melihat keberkesanan penggunaan blog dalam program Untukmu Palestin, sebagai medium, saluran yang paling mudah dicapai oleh semua pelajar.
Inisiatif penggunaan blog ini adalah bagi memudahkan pelajar perubatan terutama batch 2008/2013 untuk mendapatkan maklumat akademik dan juga untuk menyuarakan masalah, terutama kebajikan para pelajar. Memandang kemudahan ‘Wi-Fi’ yang mudah didapati di kolej dan di fakulti, saya berharap setiap pelajar dapat melayarinya dengan mudah.
Sebagai ketua BBA sendiri, saya mendapati kesulitan untuk menyampaikan maklumat kepada semua pelajar. Pengumuman dan info-info mengenai aktiviti kolej juga susah untuk diketahui oleh semua pelajar. Jadi saya mengharap dengan blog ini, para pelajar dapat melayarinya bukan sahaja untuk menyuarakan masalah dan pendapat, tetapi juga untuk mengetahui perkembangan dunia perubatan masa kini.
Segala teguran dan baikpulih bagi BBA ini amat dialu-alukan. Saya memohon ampun dan maaf andai terdapat kesalahan dan kesilapan selama saya memikul tugas dan tanggungjawab sebagai ketua BBA. Sesungguhnya setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Saya juga berharap agar tampuk pimpinan untuk tahun-tahun seterusnya dapat menyambung usaha-usaha murni yang telah dilakukan ini.
Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
KETUA BBA 08/09
Makluman Terbaru
Kepada semua pelajar Fakulti Perubatan Tahun 1. Satu perjumpaan akan diadakan pada:
Tarikh : 4 Februari 2009
Tempat : DK1 UKMKL
Masa : 12.00 – 12.30 Tghari
Kehadiran adalah wajib. Merit akan disediakan
Sunday, February 1, 2009
Berita : Sama tinggi sama rendah
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
PERUBATAN adalah bidang yang amat mencabar. Bukan calang-calang orang yang dapat mengambil pengajian itu apatah lagi ia mengambil masa yang lama.
Bidang perubatan menjanjikan anda gelaran doktor, satu nama yang cukup disegani di kalangan masyarakat kerana mereka dianggap ikon.
Jika ada anak yang menjadi doktor, seluruh kampung akan bercakap mengenai perkara itu.
Ini memberi gambaran bukan mudah untuk menjadi doktor terutama di kalangan orang Melayu dahulu.
Perubatan dikatakan bidang yang kurang diminati anak Melayu dan bilangan yang mengambil kursus berkenaan di universiti boleh dibilang dengan jari.
Tetapi itu kisah 20 tahun lalu. Kini, semakin ramai yang mahu mencuba bidang yang memerlukan ketahanan mental itu apatah lagi berhadapan dengan latihan amali yang memenatkan.
Begitupun, jumlah pelajar Melayu dalam bidang perubatan dikatakan masih kecil berbanding bangsa lain.
Apakah yang menghalang mereka mengambil kursus itu sebagai kerjaya masa depan.
Adakah kesukaran kursus atau takut untuk bersaing dengan bangsa lain dalam bidang berkenaan?
Dekan dan Pengarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Profesor Datuk Dr Lokman Saim, berkata perbezaan antara pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam bidang perubatan sudah tidak relevan untuk diperkatakan.
Beliau berkata, pada zaman globalisasi, sesiapa saja boleh menimba ilmu dalam apa mana-mana bidang yang diminati termasuk perubatan.
“Memang tidak dapat dinafikan di awal tahun 70-an, bidang perubatan dikuasai pelajar bukan Melayu kerana peluang mengikuti kursus terbabit adalah terhad dan memerlukan kos pembiayaan tinggi.
“Selain itu, pembelajaran bidang ini yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar membataskan peluang anak Melayu kerana kebanyakan mereka belajar di sekolah Melayu.
“Jadi, masa itu kebanyakan yang mampu dan berpeluang mengikuti pengajian perubatan adalah pelajar bukan Melayu,” katanya.
Bagaimanapun, penubuhan UKM pada ketika itu yang berteraskan perubatan membuka peluang kepada anak Melayu mendalami ilmu perubatan.
Lokman berkata, yuran pembelajaran yang ditawarkan pada ketika itu juga berpatutan dan mampu untuk ditanggung golongan Melayu yang berpendapatan sederhana.
“Penggunaan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa penghantar dalam kursus ini juga turut menyumbang kepada pertambahan pelajar Melayu dalam bidang ini.
“UKM ketika itu peneraju kepada penggunaan istilah perubatan dalam BM dengan bantuan pakar dan pensyarah dari beberapa universiti di Indonesia,” katanya.
Sudah menjadi satu kemestian pada ketika dulu, pelajar perubatan perlu mengikuti pengajian di luar negara untuk melengkapkan ijazah perubatan mereka.
Namun, kini mereka tidak perlu lagi berbuat demikian kerana semuanya boleh ditimba di dalam negara.
Bagaimanapun, untuk menjadi doktor pakar, mereka terpaksa menyambung pembelajaran di luar negara.
Kini, bidang perubatan bukan satu kursus yang sukar untuk diikuti kerana banyak peluang yang dibuka universiti tempatan dan swasta.
Dari segi persaingan, pelajar perubatan tidak perlu gusar kerana permintaan terhadap doktor tinggi dan sentiasa diperlukan di pelbagai sektor.
“Graduan perubatan punya banyak pilihan dalam kerjaya. Ini kerana mereka boleh memilih untuk bekerja sebagai doktor di mana-mana hospital atau membuka klinik sendiri.
“Kementerian Kesihatan kekurangan doktor yang boleh berkhidmat dengan hospital awam di seluruh negara. Ini kerana, kebanyakan doktor yang sudah lama berkhidmat di hospital awam memilih berhijrah ke hospital swasta atau membuka klinik sendiri.
“Nisbah doktor dan pesakit ialah 1:600 dan ia menunjukkan bahawa negara kita masih memerlukan graduan perubatan untuk mengisi kekosongan jawatan.
“Jadi, berapa banyak pun graduan perubatan yang dilahirkan, mereka punya tempat di semua hospital kerajaan di seluruh negara,” katanya.
Pelajar tahun empat dalam bidang perubatan UKM yang kini menjalani latihan di Hospital UKM, Kathija Banu Ariffin, 22, berkata tidak ada persaingan antara pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam fakulti perubatan di UKM.
Ini kerana mereka sentiasa digalakkan untuk bercampur gaul dengan semua bangsa dalam menimba ilmu.
“Dalam juga pembentangan atau pembelajaran, kami akan dibahagikan kepada kumpulan yang majmuk iaitu menggabungkan semua pelajar tidak kira bangsa.
“Dengan itu, kami boleh saling tolong menolong dalam apa juga persoalan dalam pelajaran,” katanya yang berhasrat untuk perkhidmatan dengan hospital awam selepas menamatkan pelajarnya nanti.
Sementara itu, Zairi Azwan Zulkifli, 23, berkata bidang perubatan adalah meluas dan punya tanggungjawab yang berat.
Menurut, Zairi yang juga kini menjalani latihan di HUKM, dia memilih bidang ini kerana ia adalah cita-cita daripada kecil lagi.
“Selain sudah menanam cita-cita untuk menjadi doktor, peristiwa kematian seorang ahli keluarga kerana kekurangan doktor pakar menjadi pembakar semangat untuknya mendalami bidang ini,” katanya.
Sumber : myMetro
Berita Terbaru
Nurulina Aimi binti Faisal
EXCO KAMPUS CAWANGAN K. LUMPUR (KCKL)
Khairul Azreen bin Mohamad Sabri
Semoga kepimpinan baru PERSIAP ini dapat memantapkan lagi fungsi dan keberkesanan PERSIAP bagi merealisasikan objektif-objektif terutamanya menjaga kebajikan dan akademik ahli-ahli PERSIAP.
Adalah diharapkan agar semua ahli PERSIAP dapat memberikan sepenuhnya komitmen, sokongan dan kerjasama kepada Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP) kita ini.
Kata-kata Aluan Editor
Assalamualaikum w.bt. dan Salam sejahtera semua..
Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya blog BBA dapat disiapkan dan diterbitkan dengan jayanya sebagai salah satu cara untuk membantu menyampaikan madah dan informasi yang amat berguna kepada siswa/i perubatan tahun 1 sesi 2008/2009 UKM.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada Organisasi BBA dan kerjasama PERSIAP yang memberi peluang kepada saya untuk merakamkan sepatah dua kata. Tahniah, kerana blog ini berjaya dicipta seiring dengan pelancaran buletin BBA untuk tatapan semua. Sesungguhnya, untuk melahirkan wadah ilmu sebegini, komitmen dan kerjasama yang tinggi daripada semua Organisasi BBA amatlah penting.
Semoga setiap apa yang diterbitkan daripada kami warga exco publisiti BBA yang sedikit ini dapat dimanfaatkan dan membantu anda semua dalam menempuh perjalanan sebagai pelajar perubatan. Semoga kita semua berjaya mendapat kecemerlangan dalam hidup dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Segala candangan atau komen adalah dialu-alukan.
Exco Publisiti BBA