Countdown Peperiksaan Ikhtisas Akhir 2012/2013

Tuesday, July 21, 2009

Interaksi: "You & Me A Bond"

Seperti yang semua sedia maklum, pada 19 Julai 2009 bertempat di Dewan Kuliah 1 Kampus KL, telah berlangsungnya program Hari Interaksi KCKL Fakulti Perubatan. Program ini diadakan bertujuan untuk menyambut kedatangan adik-adik junior sekaligus memperkenalkan kepada mereka senior tahun 2.
Majlis rasmi bermula pada jam 9 pagi, diacarakan oleh saudara Wan Abdul Hannan dengan bacaan doa oleh saudara Muhd Hazim. Saudara Mohd Azlan, Pengarah Hari Interaksi 09/10 menyampaikan ucapan pengenalan dan majlis diteruskan dengan ceramah bertajuk “Buddy & Me” seterusnya perasmian daripada Prof Madya Dr Mohd Shahrir.

Antara intipati ceramah beliau adalah mengenai kisah suka duka ketika menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Di samping itu, turut ditekankan betapa pentingnya sistem ‘buddy’ dalam menimba ilmu perubatan kerana dengan adanya ‘buddy’, pelajar akan berasa lebih mudah untuk mendapat nasihat dari segi akademik mahupun psikologi. Sistem ‘buddy’ bukan sahaja membantu ketika kita berada di alam pengajian bahkan akan berterusan sehingga ke alam pekerjaan.


Majlis perasmian oleh Prof Madya Dr Mohd Shahrir bersimbolikkan penyerahan skrol akujanji daripada wakil pelajar tahun 2 kepada wakil tahun 1. Bacaan ikrar pelajar tahun 2 diketuai oleh saudara Mohd Idrul menyemarakkan lagi majlis pada pagi tersebut. Selesai bacaan ikrar, majlis diteruskan dengan pengenalan ‘buddy’ mengikut kumpulan di mana setiap pelajar junior akan berdiri di sebelah ‘buddy’ senior mereka.


Untuk menghiburkan lagi suasana pada pagi itu, para hadirin dipertontonkan dengan video yang disediakan oleh Exco Multimedia Hari Interaksi yang mengisahkan kehidupan pelajar perubatan dan kepentingan ‘buddy’. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Prof Madya Dr Mohd Shahrir kerana kesudian beliau merasmikan majlis tersebut.


Untuk pengetahuan semua, majlis pada hari itu turut diserikan dengan kehadiran abang dan kakak senior dari PPUKM yang sanggup meluangkan masa untuk berkenalan dengan junior di tahun pra-klinikal. Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak adalah sangat menggalakkan dan diharapkan agar dapat dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang.



Disebabkan majlis rasmi tamat lebih awal daripada yang dijadualkan, aktiviti ‘Crazy OSPE’ diawalkan pada jam 12 tengah hari. Pelajar diberikan dengan makanan ringan beserta air sebagai alas perut sebelum aktiviti bermula. ‘Crazy OSPE’ diinspirasikan daripada situasi sebenar OSPE iaitu setiap kumpulan perlu menjawab tugasan yang berbentuk ilmiah, pengetahuan am dan permainan yang disediakan di setiap stesen selama 4 minit. Tujuan aktiviti ini diadakan selain daripada untuk beriadah adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar baru tentang keadaan sewaktu OSPE.


Dengan berbekalkan satu lingkaran nyamuk sebagai amanah, setiap kumpulan yang turut disertai pelajar tahun 2 dikehendaki untuk menjawab tugasan di setiap 20 stesen. Antara tugasan yang perlu diselesaikan ialah menggembirakan dan memberi arahan kepada makhluk asing untuk memakai ‘labcoat’ tanpa memegang makhluk tersebut, ‘rope skipping’ berpasangan, soalan-soalan am berkaitan dengan kakitangan universiti serta soalan akademik seperti jenis bakteria, otot dan penyakit, ‘critical thinking’ untuk stesen PPD tidak dilupakan tugasan untuk membuat cheers di hadapan ‘master’ di beberapa stesen. Terdapat banyak lagi tugasan yang menyeronokkan dan turut mencabar minda bukan sahaja pelajar tahun 1, bahkan pelajar tahun 2.

Kumpulan yang berjaya menjawab setiap tugasan dan telah mempamerkan dinamik kumpulan yang baik dinobatkan sebagai juara. Kumpulan 18 sebagai johan, diikuti kumpulan 8 di tangga kedua dan kumpulan 1 di tempat ketiga yang masing-masing membawa pulang hamper sebagai pulangan. Aktiviti petang tersebut tamat pada jam 2.30 petang dan pelajar dihidangkan dengan jamuan tengah hari yang sungguh menyelerakan.
Walaupun kepenatan dek aktiviti sepanjang hari tersebut, namun rata-rata pelajar yang hadir sangat terhibur dan gembira dengan program yang telah disediakan. Organisasi Hari Interaksi pada tahun ini telah menerima banyak maklum balas yang positif daripada semua pihak. Program yang telah berjaya dilangsungkan ini diharap dapat mengeratkan jalinan ukhwah antara semua pelajar perubatan tanpa mengira umur, kaum dan agama serta dapat membentuk rangkaian pelajar perubatan yang saling membantu antara satu sama lain. “You and Me : A Bond”.

Disediakan oleh,
Setiausaha Hari Interaksi 09/10

No comments:

Post a Comment

Your Download

Would like to contribute any files?Please send it via email to publisitibba0813@yahoo.com.The files will be considered to be uploaded.